Kerjaya Fizz Fairuz

2006–2010: Permulaan kerjaya

Beliau mula berkecimpung dalam bidang seni sebagai pelakon lagak ngeri dalam beberapa produksi drama dan filem. Dari situ, beliau diasah menjadi pelakon terkenal dan membintangi filem pertamanya, Castello arahan Bade Hj. Azmi, lakonan Rosyam Nor yang ditayangkan pada 5 Januari 2006. Drama pertama lakonan Fizz ialah Dua Hati yang dibintangi oleh Linda Rafar dan Jue Aziz.[7]

Orang Minyak arahan Jamal Maarif dan CK Karan, menyaksikan Fizz menjayakan watak sebagai Munir. Filem ini ditayangkan pada 25 November 2007, dan merupakan satu kegagalan komersial.[8] Fizz kemudiannya memegang watak sebagai Lut dalam filem drama aksi Anak Halal arahan Osman Ali lakonan Farid Kamil, Maya Karin dan Fasha Sandha yang ditayangkan pada 13 Disember 2007.[9]

Pada tahun 2008 sahaja, Fizz tidak berlakon filem, sebaliknya lebih fokus kepada drama dan telefilem. Beliau berlakon bersama Emelda Rosmila yang melakonkan dua watak dalam drama Kekasihku Seru. Dalam drama ini, beliau menjayakan watak sebagai Rashad yang baru sahaja kehilangan isteri dan anaknya dalam kemalangan jalan raya.[10][11] Selepas Kekasihku Seru, Fizz menjayakan watak sebagai Umar dalam drama Akukah Tanggang? lakonan Adi Putra yang memulakan tayangan perdana di Slot Lagenda TV3 pada 28 Julai 2008. Ia turut dibintangi oleh Fasha Sandha, Aida Radzwill, Jalaluddin Hassan, Wan Hanafi Su, Almy Nadia dan Fauziah Nawi.[12]

Satu-satunya filem lakonan Fizz dalam tahun 2009 ialah Syurga Cinta arahan Ahmad Idham lakonan Awal Ashaari dan Heliza. Sepanjang 2009, beliau lebih banyak berlakon drama dan telefilem.

Beliau kembali bekerja di bawah arahan Idham menerusi filem Niyang Rapik yang turut dibintangi oleh Kamal Adli dan Liyana Jasmay; Fizz menjayakan watak sebagai Zack.[13] Beliau mencapai kejayaan berganda menerusi drama Nur Kasih arahan Kabir Bhatia lakonan bersama Remy Ishak dan Tiz Zaqyah.[14] Dalam drama ini, Fizz memegang watak Aidil, seorang lelaki yang menjadi impian setiap gadis untuk menjadi isterinya dan mempunyai keperibadian yang tinggi dan sangat bertanggungjawab. Aidil juga ialah seorang anak dan abang yang sangat mengutamakan keluarga dan sanggup mengetepikan kebahagiaan diri sendiri demi untuk keluarganya.[15] Beliau kembali menjayakan watak lakonannya dalam filem Nur Kasih The Movie yang ditayangkan pada 19 Mei 2011.[16]

2011–2014: Kejayaan awal

Pada 19 Jun 2011, Fizz menjadi pelakon utama bersama Fathia Latiff yang memegang watak Amni Sorfina dalam drama adaptasi novel karya Nurull Halawati, Stanza Cinta. Beliau menjayakan watak sebagai Taufiq.[17] Sepanjang 2011, Fizz berlakon dalam lima telefilem, antaranya ialah Mencari Bidadari dan Langkah Bendul.

Tahun 2012 menjadi tahun kecemerlangan Fizz dalam kerjaya filemnya, dengan keluaran lima filem cereka yang ditayangkan. Yang pertama daripada kelima-lima filem ini ialah drama komedi romantik Cinta Kura-Kura lakonan bersama Tiz Zaqyah, Aeril Zafrel dan lakonan suara Zizan Razak. Fizz memegang watak sebagai Fadzly, seorang pemilik kedai haiwan peliharaan.[18] Persembahan beliau dalam filem ini melayakkan Fizz menerima pencalonan kategori Anugerah Penjahat Terhebat di Anugerah Blokbuster 2013. Dalam filem drama aksi Jiwa Taiko arahan Osman Ali, Fizz memegang watak sebagai Freez, rakan karib Firman lakonan Remy Ishak. Filem yang pada asalnya menggunakan tajuk Bara Jiwa sebelum bertukar tajuk kepada Jiwa Taiko ditayangkan pada 14 Jun 2012.[19] Beliau seterusnya menjayakan watak Johan dalam filem drama fantasi biografi 29 Februari arahan Edry Abdul Halim lakonan Remy Ishak yang mengisahkan Budi yang lahir pada tarikh keramat tahun lompat 29 Februari. Mohd al-Qayum Azizi daripada mStar Online memuji penerapan filem-filem arkib dalam filem ini walaupun tidak sempurna.[20]

Fizz kemudian berlakon bersama Zizan Razak dan Remy Ishak dalam filem aksi komedi arahan Ghaz Abu Bakar, Hantu Kapcai yang mana beliau memegang watak sebagai Ibrahim, rakan karib Ajib lakonan Zizan. Filem ini merupakan kejayaan komersial.[21][22]

Selain itu, Fizz menjayakan peranan pembantu dalam filem arahan V. Nagaraj lakonan Hairul Azreen dan Faralyna Idris, Gila-Gila Remaja 2, kesinambungan daripada filem 1985, Gila-Gila Remaja arahan Allahyarham Hussein Abu Hassan lakonan Faizal Hussein. Beliau memegang watak Haikal, abang sulung Lisa lakonan Faralyna.[23] Filem ini turut dibintangi oleh Taiyuddin Bakar, dan Bella Dally.

Beliau kemudian muncul dalam filem Mat Tudung arahan Waan Hafiz yang dibintangi oleh Nelydia Senrose dan Izzue Islam, Fizz melakonkan watak Johari/Johana. Filem ini mengisahkan seorang mat rempit bernama Johari yang telah jatuh cinta kepada gadis bertudung yang sukar didekati bernama Zizie lakonan Nelydia.[24][25] Filem ini ditayangkan pada 28 Julai 2014 serta diterbitkan oleh Showbiz Productions.[26]

Bersama Lisa Surihani, beliau membintangi filem seram suspens-seram arahan Jason Chong, Dendam Orang Mati, memegang watak sebagai Shahrul.[27] Filem ini menerima ulasan positif daripada pengkririk filem.[perlu rujukan]

2015–kini: Pengiktirafan meluas

Fizz menjayakan dua watak, iaitu Inspektor Adam dan SuperBro dalam filem aksi komedi adiwira Cicakman 3[28] arahan bersama Yusry KRU dan Ghaz Abu Bakar. Filem yang mula ditayangkan di pawagam pada 12 Mac 2015 ini turut dibintangi oleh Zizan Razak dan Lisa Surihani. Fizz berkata mengenai watak lakonannya: "Saya memang sudah lama idamkan untuk terlibat dalam filem adiwira seperti ini. Watak saya terlibat dalam banyak konflik yang melibatkan perasaan. Apa yang boleh saya cakap memang agak meletihkan tetapi saya seronok kerana saya telah melepaskan beberapa tawaran lakonan demi watak Inspektor Adam."[29]

Bekerja di bawah arahan Syamsul Yusof, Fizz memegang watak Ustaz Azman, rakan karib Ustaz Adam lakonan Syamsul dalam filem seram pecah panggung Munafik yang ditayangkan pada 25 Februari 2016.[30] Filem ini menyaksikan beliau digandingkan bersama Nabila Huda selepas berlakon bersama dalam filem Bisikan Syaitan (2013).[31] Selain itu, beliau juga berlakon dalam dua drama televisyen, Inikah Cinta lakonan Niezam Zaidi dan Farah Nabilah[32] serta Singgahsana Cinta lakonan Ana Dahlia dan Dazrin Kamarudin.[33]

Fizz berlakon di samping Ayda Jebat dan Redza Rosli dalam drama Ku Kirim Cinta arahan Raja Ahmad Alauddin. Dalam filem seram psikologi Hospital arahan Azaromi Ghozali, beliau melakonkan watak doktor pakar bernama Farid. Shazryn Mohd Faizal daripada mStar Online melihat filem ini tidak diperkuat seperti mana sepatutnya ia dilakukan.[34] Beliau dikhabarkan bakal menghasilkan semula filem Nur Kasih The Movie sebagai karya sulungnya.[35]

Fizz memegang watak sebagai Raizal dalam drama Cinta Tiada Ganti lakonan Addy Ashraf dan Nelydia Senrose. Drama yang diadaptasi dari drama Filipina, Sana'y Wala Nang Wakas, mengisahkan percintaan Ara dan Mukhriz yang penuh dengan liku akibat dosa lampau ibu bapa mereka.[36] Beliau kembali menjayakan peranannya sebagai Azman dalam kesinambungan filem Munafik, Munafik 2 yang ditayangkan pada 30 Ogos 2018.[37]

Menerusi drama Kamar Kamariah arahan Raja Ahmad Alauddin, beliau memegang watak sebagai Murad, seorang pemuda yang dipaksa berkahwin dengan Kamariah lakonan Nabila Huda. Pelakon lain yang terlibat termasuk Syafie Naswip, Tasha Shilla dan Aidil Aziz.[38]

Beliau kini sedang mempersiapkan filem pertama terbitannya yang bergenre kerohanian. Untuk projek ini, beliau bekerjasama dengan Syamsul Yusof dan penggambaran dijangka bermula pada Oktober.[39]

Rujukan

WikiPedia: Fizz Fairuz http://www.astroawani.com/berita-hiburan/fizz-fair... http://www.imdb.com/name/nm3815067/ http://ohbulan.com/fizz-fairuz-kini-bergelar-datuk... http://www.ohbulan.com/lisa-surihani-atau-fizz-fai... http://rotikaya.com/video-3-teaser-trailer-pertama... http://www.bharian.com.my/sisipan/bintangpopular/S... http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&d... http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&d... http://www.kosmo.com.my/hiburan/fizz-fairuz-buat-l... http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&d...